Sunday, February 6, 2022

 

Sejarah Silat Cekak Pusaka Hanafi

Menurut sejarah, Seni Silat Cekak berasal dari Kedah. Ia pernah diamalkan oleh panglima-panglima kanan kerajaan Kedah untuk menghadapi pencerobohan dari luar negeri pada zaman pemerintahan Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II (1854-1879).

Salah seorang daripada panglima kanan kerajaan Kedah iaitu Panglima Ismail telah berjaya menewaskan seorang panglima Batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) dan menurunkan ilmu silat ini kepada Panglima Tok Rashid. Manakala Panglima Tok Rashid pula telah mengamanahkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said yang berasal dari Batu Kurau, Taiping, sebagai ‘pemegang amanah’.


Panglima Tok Rashid meninggalkan wasiat kepada Yahya Said yang pada ketika itu berumur 20 tahun;

“Jika ada anak cucuku di Kedah hendak belajar silat ini, hendaklah kau pulangkan kembali”.

Silat ini telah terpendam selama 40 tahun sehinggalah Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad yang berasal dari Kedah, telah bertemu dengan Yahya Said.

Oleh kerana minatnya yang amat mendalam terhadap silat ini, Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad telah dapat mewarisi kembali seni pusaka bangsa ini daripada Yahya Said. Pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965, bertempat di rumah Shafie Darus, Batu 4 3/4, Jalan Gunung Alor Setar, Kedah; Silat Cekak berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah yang ditubuhkan pada Februari 1964.




Kemudian pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia didaftarkan dan diasaskan oleh YM Al-Marhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad Pada tahun 1975, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah menyaksikan logo baru baginya yang mana ianya juga telah diasaskan oleh Y.M. Al-Marhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Guru Utama merangkap Presiden PSSCM.

Beliau telah meninggal dunia pada 13 Ogos, 1986 setelah menerajui PSSCM dan mengembangkan silat ini ke seluruh negara selama 21 tahun. 

Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi adalah Seni Silat Cekak yang benar-benar diamalkan serta dianjurkan oleh YM Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad baik dari segi kaedah pembelajaran, prinsip, konsep, falsafah, kefahaman dan pembawaannya.

Seni Silat ini dipercayai telah diamalkan oleh keluarga diraja dan panglima-panglima kanan semasa zaman Kesultanan Kedah seawal pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879). Guru yang terawal diketahui ialah Panglima Ismail yang dahulunya telah menurunkan Silat ini kepada Panglima Tok Rashid yang kemudiannya mengamanahkan pula Seni Silat ini kepada Encik Yahya Bin Said (Pak Yah). Akhirnya Seni Silat Cekak ini tela diwariskan oleh Pak Yah kepada YM Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad pada tanggal 28 Disember 1965 bersamaan dengan 5 Ramadhan 1385 di Alor Setar, Kedah.



Sejak dizahirkan kembali oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad, maka bermulalah era baharu bagi Seni Silat ini. Beliau telah memberi semangat dan pendekatan yang begitu unik serta berjaya mengangkat martabat pergerakan Seni Silat Cekak sebagai suatu pergerakan yang begitu disegani oleh rakan mahupun lawan, yang juga mampu terus memberi sumbangan positif kepada masyarakat keseluruhannya.

Kini, Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi terus berkembang melalui cawangan-cawangan di peringkat negeri serta mempunyai kelas-kelas persilatannya yang aktif di hampir kesemua universiti dan pusat pengajian tinggi termasuklah sebahagian besar sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Anak ke-4 Almarhum Ustaz Haji Hanafi Bin Haji Ahmad,  Tuan Dr. Haji Md. Radzi Bin Haji Hanafi kini menerajui tampuk kepemimpinan Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi  dan meneruskan perjuangan Seni Silat Cekak sebagai Pewaris Mutlak.


"Tak Silat Hilang Di Dunia"... YKol. Kehormat (PA) Dr. Haji Md Radzi Bin Haji Hanafi





Share:

0 comments:

Post a Comment